Rabu, 15 Disember 2010

coretan seorng ibu....*)*)*)

Apalah yang mampu dimengertikan oleh anak sekecil ini dengan erti sebuah kematian. Semua dari kita akan mati, mungkin ramai antara kita lahir dengan cara yang sama, namun kematian membezakan kita. Ujian dalam menempuh kematian datang dalam bentuk pelbagai. Bahagialah kiranya mati dalam keadaan sempurna dan bersedia. Malanglah kiranya mati bersendirian tidak berteman atau kecederaan yang maha dasyhat.

 "Bagaimana hari ini Lia? bertambahkah kekuatan dalam jiwa," sapa doktor Nuraini.



"Alhamdulillah doktor, makin bertambah, Insya-Allah saya akan tabah menghadapi hari mendatang,"



"Bagus, dalam keadaan sekarang semangat awak yang paling penting. Jangan biarkan kesakitan ini menewaskan awak, Ok!!,"dia terus disuntik semangat.



Lia mengangguk. Namun itu kata doktor, tetapi kepayahan ini aku yang menanggungnya. Bagaimana dua lagi zuriatku, benih tinggalan suamiku.



Oh! Abang, sampai hatimu abang, kejamnya dirimu. Sanggup kau biarkan kami harungi kedukaan yang memeritkan ini. Ya Allah, aku syukur kerana aku di pilih Mu untuk diuji. Dan syukur dengan kesakitan ini, sekurang-kurangnya aku bersedia untuk menghadapi kematian. Akan ku lengkapkan sebaik mungkin diri ini untuk kehidupan di sana..



Abang, bagaimana Along akan menghadapi kehidupan ini, bagaimana? Adik juga sudah disahkan dijangkiti virus celaka itu. Along sahaja yang bebas. Abang tidak kasihankah pada kami. Kenapa abang tinggalkan kami???



Bagaimana untuk Lia menguruskan kedua mereka, sedangkan menguruskan diri sendiri pun Lia sudah tidak mampu. Dalam kesedihan itu, Lia mengingatkan kembali detik-detik melukakan hatinya.



---------------------------------------

"Lia, tahu bang, Lia tahu abang ada hubungan dengan perempuan itu, mulanya Lia sangkakan hanya cerita mulut orang, tetapi bang Tuhan itu Adil bang, Lia nampak dengan mata kepala Lia bang, Lia nampak abang keluar dari hotel itu berpegangan tangan, macam budak umur 17 tahun bercinta sahaja lagaknya," ujarnya Lia dalam sendu tangisnya.



"Lia, tidak mahu bersubahat abang, tidak sanggup, kalau abang rasakan Lia tidak mampu melayan abang, dari segenap segi terutama nafsu lelaki abang, Lia izinkan abang nikahi lah perempuan itu, Lia akui Lia tidak punya keberanian untuk berpakaian terlondeh sana sini untuk menaikkan ghairah abang setiap masa, abang bernikahlah dengan dia, supaya tidak berterusan berzina, dosa besar abang, cukuplah sudah setahun abang menggauli perempuan itu tanpa ikatan, cukuplah, kahwinilah dia" tangis Lia sambil memeluk Along. Kemudian suaminya keluar rumah sehinggalah kepulangan beberapa hari kemudian, dia kembali. Di bawa bersama borang untuk bernikah lagi. Dengan linangan air mata dan dengan terketar jarinya borang itu ditanda tanganinya.



Dua hari kemudian dia kembali lagi, dikhabarkan malam itu majlis nikah ringkas diadakan di kediaman perempuan itu. Dengan linangan air mata, dan dengan kasih dan taatnya, di gagahi menggosok sepasang baju melayu itu. Sungguh lelaki itu tidak malu, masih tergamak menyuruh Lia menggosok baju itu. Masih Lia ingat, baju melayu itulah yang di pakai pada hari raya tahun lepas, Lia menempah sepasang, untuk dia dan Along, dan Lia sendiri memakai kurung biru sedondon untuk mereka bersama beraya.



Tetapi hari ini, dia menggosok baju itu, bukan untuk mereka beraya bersama, tetapi untuk suami tercinta berpasangan dengan madunya. Ya Allah tabahkan aku seperti isteri-isteri Rasullah yang redha berkongsi kasih baginda. Dan dia tanpa rasa bersalah, terus sahaja mengenakan baju melayu yang sudah siap dibutangkan.



Remuk redam hati Lia disaat itu.



--------------------------------------------

Lia masih ingat, 3 bulan pertama dia bermadu, suaminya hanya menjenguk mereka dihujung minggu sahaja. Itupun mungkin kerana Along, dia tidak bermalam sekadar menyinggah. Lia kecil hati, tetapi tidak disuarakan. Dia bersabar, menjelang bulan kelima, dengan tidak malu, dia pulang dan menyatakan dia terpaksa menumpangkan perempuan itu sementara di rumah itu, rumah Lia dan dia, bersama Along. Katanya dia sedikit keperitan. Sewa rumah sana sudah 2 bulan tidak dibayar. Hari perempuan Lia tersentuh, dia beralah.



Mujur perempuan tidak tahu malu itu sedar diri. Siang harinya keluar entah kemana, Pulang bersama suaminya hampir lewat malam. Luluh jiwa raganya, apabila tidak sengaja, mendengar rengekan manja perempuan itu bersama suaminya didalam bilik tidur kedua, semasa menyidai pakaian diluar rumah di malam itu. Gugur air matanya satu persatu membayangkan tubuh yang selama ini hanya bersatu dengan dirinya kini bersama perempuan lain yang juga halal digauli itu.



Lia tidak tahu samaada dia harus bersyukur atau tidak, apabila suatu hari dia balik dan mengamuk, katanya perempuan itu melarikan diri, habis semua bajunya dibawa. Keretanya juga dilarikan. Dia tahu, dia kini tersalah pilihan, dia tidak pedulikan nasihat kawan-kawannya yang sudah berbuih melarang dia menikahi perempuan jalang itu. Lia tahu dia kini sudah tidak ada saingan lagi. Tiga hari kemudian, Lia dapat tahu perempuan itu diceraikan. Gembirakah Lia disaat itu? Entah!



-----------------------------------------------------

Kini dia kembali melayani Lia, Lia akui, dia tetap lelaki yang hebat bila berasmara. Lia kalah dengan layanannya. Lia kembali gembira. Dia dilayani mesra seperti mula-mula berkahwin dahulu.



3 bulan kemudian, Lia muntah-muntah lagi. Mangga muda depan rumah sudah mula dikaitnya. Lia menikmatinya setiap hari, tahulah dia benihnya kini sudah tertanam subur di rahim Lia. Lia gembira. Along akan punya adik tidak lama lagi. Dia tetap mahukan Lia dalam keadaan begitu, Lia dengan taat melayani nafsu lelaki bergelar suami itu. Besar pahalanya kata Lia.



Kini sudah 5 bulan usia janin yang tertanam di rahimnya. Lia sudah mula melakukan pemeriksaan bulanan di klinik yang dia sudah biasa. Bagaikan terhenti denyut jantung Lia apabila doktor memberitahu, dirinya sudah dijangkiti HIV. Patutlah selsemanya berlarutan hampir sebulan. Lia rasa dunia ini seolah tidak adil. Kenapa dia, tidak orang lain.

Petang itu Lia menanti dia pulang dengan hati yang berbaur. Benci meluap-luap. Kerana dialah, kerana perempuan jalang itulah, kerana merekalah. Akhirnya dia pulang, Lia hamburkan segala kemarahan dan kekecewaan.



Itulah kali pertama Lia lihat dia menangis. Tetapi hati Lia jelak, dia benci dengan tangisan itu. Kemudian dia keluar dari rumah dah hinggalah ke saat ini, saat dia terlantar sakit di katil hospital ini, disaat dia berjaya melahirkan bayi perempuan yang comel itu. Tetapi sayang, hayat bayi itu pasti tidak lama, entah setahun, entah lebih pendek dari itu, dan mungkin lebih panjang dari itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.



Namun Lia bersyukur, sekurang-kurang Along tidak dijangkiti. Tuhan itu Maha Adil. Lia sentiasa berdoa semoga Along sentiasa sihat. Kasihani anak itu. Mujur Lia punya ibu yang akan dikenang dunia dan akhirat. Ibu yang dikasihi sepanjang hayat. Ibulah kekuatannya. Ibu pesan, apa yang berlaku pada hari ini sudah tertulis di Loh Mahfuz. Dan itulah kata azimat penguat semangat..



---------------------------------------------------



Bayi perempuan itu dinamakan Fatihah, tidak terlalu tinggi harapan pada anak itu untuk melihatnya terus hidup. Kadang-kala dia seolah berdoa, biarlah anak itu mati dalam usia Muyammiz dari dia dihina. Fatihah sering demam, dan ada sekali sawan menyerang. Dia sungguh hiba kala itu. Dia tidak dibenarkan menyusu anaknya. Sungguh tidak adil, dirasakan.



Along tahu ibu sakit, Along tidak pernah bertanya bila ibu akan pulang. Along kata, Along suka tinggal dengan nenek. Setiap malam Along mengaji dengan nenek. Pagi-pagi Along tolong nenek siram pokok. Sebak hati Lia mendengarkan cerita itu.



Kini sudah 8 bulan Lia di sini, di tempat inilah dia dan rakan-rakan senasib yang lain ditempatkan. Disini Lia bertemu dengan ramai lagi rakan senasibnya, menghitung hari menanti tibanya dijemput Izrail. Di sini Lia menambah ilmu agama di dada. Selama 8 bulan, sudah 3 kali Lia khatam Al-Quran, hampir setiap malam dia bersolat taubat, mohon keampunan.



Doktor Nuraini mencadangkan Lia ke sini. Fatihah sudah kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan anak itu akan bahagia di syurga sana. Paru-paru Fatihah dijangkiti kuman, akibat dari selsema yang berlarutan. Kering sudah air mata Lia melihat bayi kecil itu jenazahnya diuruskan pihak hospital. Begitulah dibayangkan jenazahnya nanti, semua diuruskan oleh mereka yang dia tidak kenali, mayatnya Cuma hanya akan dibawa ke rumah sudah siap berbungkus. Cuma untuk dikebumikan, sedih pilu hatinya membayangkan betapa mayatnya dalam keadaan begitu, maklumlah pengidap AIDS. Salah aku kah??? Bentak hati Lia.



-------------------------------------------



Lia tahu ajalnya hampir tiba, Lia sedar kudis dibadannya makin melata. Lia tahu dia akan tinggalkan Along. Along akan sendirian hadapi hidup ini. Lia risau memikirkan, andai tidak panjang umur ibunya, kepada siapa Along akan berharap. Lia sebak membayangkan anak sebatang kara menghuni rumah anak yatim. Ya Allah besarnya ujianMu pada hambaMu ini. Lia berdoa semoga Along akan sentiasa beroleh bahagia.



Kini Lia demam panas, panas yang tidak menentu. Selsema berlarutan, Lia sering semput. Nafas seolah tersekat, Lia tidak mampu bernafas ada kalanya. Lia semakin tenat. Dalam kepayahan itu, Lia mengambil beberapa helai kertas dan sebatang pen. Lia kuatkan semangat. Lia mesti coretkan sesuatu untuk kenangan Along. Lia tidak mampu berikan harta kemewahan. Kasih sayangnya pada Along juga mungkin tidak lama. Yang pasti Lia akan coretkan kenangan abadi buat Along.



Lia mula menulis..



Along,


Sebelum Along terus membaca, Ibu ingin menyatakan, meskipun ibu sudah tiada, tetapi kasih dan sayang ibu abadi selamanya buat Along. Along yang memang ibu kasihi sepanjang hayat ibu. Anak yang ibu senangi selama hayat ibu. Anak yang baik tidak pernah menyusahkan ibu walau sebesar hama.



Along,
Biar ibu cerita dari mula. Biar Along tahu kisahnya, setidak-tidaknya walau ibu tidak bercerita dan Along mendengar, tetapi sekurang-kurangnya ibu menulis dan Along dapat membaca. Biar ibu cerita kisah mula ibu bercinta dengan abah. Bagaimana kami berjumpa sehinggalah ibu sudah tiada.



Along,
Abah Along memang segak orangnya. Ibu harap Along dapat bertemu dengannya bila Along sudah pandai membaca surat ibu ini. Semasa mudanya abah berkerja sebelah pejabat ibu. Setiap hari bertembung, akhirnya berkenalan juga. Perhubungan dimulakan dengan bantuan orang ketiga. Kemudian kami bercinta, orang dulu bercinta tidak lama, beberapa bulan sahaja, kemudian datuk dan nenek sebelah abah datang merisik dan kami bertunang.



Along,
Tidak lama pun ibu bertunang, 6 bulan selepas itu, selamatlah kami diijab kabulkan. Syukur kepada Allah, ibu punya suami yang baik. Sejak hari pertama kami disatukan, impian kami hanya satu, ingin punya zuriat secepat mungkin. Dengan izin Allah, sebulan kemudian, ibu sudah ada tanda-tanda akan menjadi ibu tidak lama lagi. Kami sungguh gembira. Abah sungguh baik, ibu ditatang dengan penuh kasih sayang. Sungguh ibu rasa amat bahagia. Sebulan, dua bulan tiga bulan lamanya ibu mabuk mengandung, muntah dan pening. Bulan keempat ibu mula segar, selera makan bertambah. Along tahu setiap hari ibu inginkan makan laksa, setiap hari abah terpaksa belikan laksa untuk ibu.



Along,
Dari bulan keempat, kami terus menanti, Hingga bulan kelima, ibu mula berdebar dan rasa sungguh bahagia, anak dalam kandungan ibu sudah mula bergerak. Bulan keenam anak dalam kandungan ibu makin nakal menendang. Tuhan sahaja yang tahu bahagianya ibu dikala itu. Bulan ketujuh, perut ibu sudah semakin membesar. Terpaksalah ibu memakai baju kembang yang khusus untuk ibu mengandung, ibu rasa sungguh comel masa itu memakai baju berenda-renda dengan perut yang membulat. Pada masa ini ibu dan abah sudah mula membelikan segala kelengkapan untuk anak yang bakal lahir dengan penuh gembira. Setiap minggu ada sahaja barangan yang kami belikan.



Along,
Ibu masih ingat barang pertama yang ibu beli untuk anak pertama kami, iaitu sepasang sarung tangan dan sarung kaki berwarna biru. Comel sungguh ! Kemudian pada hari yang sama kami mencarikan juga sepasang baju lengan panjang dan seluar juga berwarna biru. Kami juga belikan sehelai selimut berwarna biru. Naluri ibu kuat mengatakan anak ibu nanti lelaki, jadi ibu belikan warna biru yang memang sesuai untuk lelaki. Kemudian minggu hadapannya kami membeli lagi.



Along,
Bulan kelapan, perut ibu sudah menegang, anak dalam rahim ibu makin kuat menendang, sekali dia berpusing, senak terasa perut ibu. Bulan kesembilan, ibu makin berdebar-debar. Pada masa ini hampir semua kelengkapan untuk menyambut anak ibu dan abah sudah tersedia. Segala lengkap, Cuma menanti masa untuk digunakan oleh anak yang bakal lahir. Sungguh comel bilik kami hiasi dengan barangan bayi. Kami tidak sabar menantikan kehadiran bayi itu.



Along,
Akhirnya pada 6 March 1982, iatu tepat pada malam hari raya, sewaktu sedang nyenyak tidur, tiba-tiba ibu terasa basah, katil basah dengan air, mulanya ibu ingat ibu sudah terbuang air kecil, tetapi rupanya air ketuban. Ibu kejutkan abah, kelam kabut dia bangun dan kami bersiap-siap ke hospital. Mujur kami berada dikampung masa itu, konon hendak beraya esoknya, tetapi tidak sangka, ibu sudah hendak bersalin pada malam itu. Kalau diikutkan perkiraan doktor, lagi dua minggu ibu akan bersalin. Mungkin anak ibu hendak beraya bersama ibu. Kami sampai di hospital jam 2.30 pagi. Jururawat kata, lambat lagi nak bersalin, mungkin tengahari sikit kot. Ibu pun belum rasa sakit. Abah temankan ibu. Pukul 4.00 pagi, ibu terasa seperti hendak buang air besar, ibu ajak abah temankan ke bilik air. Tetapi bukan hendak membuang pun, Cuma terasa sahaja. Jururawat suruh ibu berbaring sahaja. Katanya pintu rahim sudah terbuka 5 cm. Lagi 2-3 jam baru boleh bersalin katanya. Jam 6.00 pagi, disaat umat Islam bersiap-siap untuk solat subuh, ibu mula terasa sakitnya. Sakit tidak terkira. Setiap lima belas minit ibu rasakan seperti seluruh isi perut ibu hendak direntap keluar. Pinggang terasa bagai hendak terputus rasanya. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Ibu sungguh insaf di kala itu bagaimana azabnya seorang ibu berjuang melahirkan seorang bayi.



Along,
Setelah bertarung hampir dari 5 jam dengan kesakitan, akhirnya dengan bantuan doktor, ibu berjaya juga meneran keluar seorang bayi yang ibu rasanya sungguh comel disaat itu. Ibu terlalu bangga dan gembira. Menitis air mata ibu dikala itu. Anak ibu lahir tepat disaat umat Islam sedang sembahyang sunat Aidil Fitri. Sejuk hati ibu, sebak perasaan ibu dikala abah mengazankan bayi comel itu. Dan kami sepakat menamakan bayi itu, Mohd. Aidil Asraff. Anak itulah yang kami panggil Along. Syukur pada Allah, kerana berkat anak lahir dibulan yang mulia, anak ibu sungguh baik, tidak banyak ragamnya. Along sentiasanya membahagiakan ibu. Kita semua bahagia.



Along,
Ibu masih ingat, Along sungguh bijak budaknya pada usia 2 bulan Along sudah pandai mengenali ibu dan abah. Sudah pandai hendak bermanja. Ibu ingat lagi, Along mula meniarap pada usia 4 bulan, merangkak pada usia 7 bulan mula duduk dan berdiri jatuh pada usia 10 bulan. Genap setahun Along sudah mula berjalan. Ibu ingat pada suatu hari akibat kelekaan ibu, Along terjatuh dan akibatnya dahi Along berdarah dan terpaksa menerima jahitan. Itulah kesannya masih ada pada dahi sebelah kiri Along. Sejak punya Along, hidup ibu sungguh bermakna, habis sahaja waktu berkerja ibu tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah bermain-main dengan anak ibu.



Along,
Along nak tahu apa makanan kesukaan Along semasa kecil. Tidak banyak yang mampu ibu ceritakan, kerana pada masa surat ini ibu tulis, Along baru berusia 6 tahun. Tapi setakat ini, Along paling suka sekali makan roti yang dicicah kuah kari. Ibu tidak jemu-jemu memasak kari kerana Along sangat gemarkan kari. Along boleh makan nasi sehingga tambah berkali-kali kerana sukakan kari yang digaul bersama kicap. Entahlah anak ibu ikut siapa suka sangat dengan kari. Selain itu Along juga paling suka makan cucur bawang. Hal ini mungkin Along ikut abah, abah memang sukakan cucur bawang. Sejak punya Along, setiap kali hari raya, kita sekeluarga biasanya akan memakai pakaian dari tema warna yang sama. Sungguh bahagia saat itu, Along sungguh comel berbaju melayu, tapi sayangnya ibu tidak berpeluang untuk beraya bersama Along lagi untuk tahun-tahun seterusnya. Kita tak mampu menolak takdir Allah kan?



Along,
Mari ibu ceritakan mengenai abah. Abah Along bukan jahat sebenarnya. Dia sungguh baik dengan kita. Abah bertanggung jawab, tetapi sebagai manusia dia juga melakukan kesilapan. Ibu tidak mahu menuding jari menyalah sesiapa ke atas apa yang berlaku pada keluarga kita. Mungkin sudah Qada dan Qadar kita begini. Anggaplah ini semua ujian di dunia ya Along. Jangan Along bencikan Abah. Dia tetap abah Along. Baiklah biar ibu cerita sedikit mengenai Abah.


Abah Along berasal dari Gemas, Negeri Sembilan. Dia anak kedua dari 5 orang adik beradik. Hubungan mereka agak baik, tetapi selepas peristiwa abah tinggalkan kita, dia sendiri tidak pernah pulang ke rumah nenek dan atuk Along di sana, Semua orang tidak tahu kemana perginya dia. Entahkan hidup entahkan mati. Abah baik sebenarnya sehinggalah, Allah mula menguji rumah tangga kami, dan ujian hidup bermula apabila abah mula menjalinkan hubungan dengan seorang wanita. Ibu izinkan abah berkahwin lain, supaya tidak terus menimbulkan fitnah orang. Akhirnya mereka berkahwin dengan linangan air mata ibu. Sejak hari itu, kami jarang bertemu, mungkin abah sibuk dengan isteri barunya.


Tetapi jodoh mereka tidak panjang, tidak lama kemudian mereka bercerai. Abah kembali kepada ibu, kami kembali bahagia. Tidak lama kemudian, ibu mula hamilkan adik Along, Fatihah. Bila hamilkan Fatihah barulah ibu tahu ibu mengidap HIV. Biarlah ibu cerita hal yang sebenar. Tidak guna ibu sorokkan, kerana lambat laun Along akan tahu juga, dan lebih baik Along dapat tahu dari ibu dari mulut orang lain yang mana mungkin menimbulkan fitnah. Sebenarnya ibu tahu virus itu ibu jangkiti dari abah yang juga mungkin menjangkiti virus itu dari bekas isteri mudanya yang punya kisah silam yang tidak begitu elok.


Bagaikan hilang arah ibu ketika itu, tetapi janin terus dikandung, sehinggalah Fatihah lahir dan sebaik sahaja ujian darah dilakukan dia juga dijangkiti virus yang sama. Malang sungguh nasib adikmu. Tetapi usia Fatihah tidak panjang, belum cukup setahun dia meninggal dunia. Biarlah, Allah lebih sayangkan dia. Ibu kecewa pada saat itu, akhirnya dengan bantuan Doktor Nuraini, ibu mendaftar diri di Majlis Aids Malaysia, dan kemudian ibu ditempatkan di sebuah tempat yang khusus untuk pengidap penyakit seperti ibu untuk meneruskan sisa-sisa hidup.



Along,
Ibu bahagia di sini. Bersama teman senasib, menanti masa dijemput malaikat maut. Sekarang kesihatan ibu amat tidak menggembirakan. Ibu tahu ibu tidak akan lama lagi untuk hidup di bumi ini. Ibu sudah bersedia untuk itu, tetapi ibu rasanya belum bersedia untuk tinggalkan buah hati ibu, iaitu Mohd. Aidil Asraff. Ibu belum puas mencurahkan kasih sayang buat Along. Ibu belum puas membelai anak ibu, ibu belum tengok lagi anak ibu memakai pakaian seragam sekolah, ibu tidak merasa bersama-sama membantu Along membuat kerja-kerja sekolah. Sesungguhnya itulah naluri seorang ibu. Ibu belum puas mencium anak ibu, ibu rindukan senyum tawa anak ibu.


Ibu juga belum puas menyuapkan makanan untuk anak ibu. Ibu masih teringin masakkan kari kegemaran untuk anak ibu. Tetapi ibu sedar, siapalah ibu untuk melawan takdir Ilahi. Mungkin sudah tersurat sampai sini sahaja masa untuk kita bersama. Apa yang ibu harapkan anak ibu teruskan kenangkan ibu untuk selama-lamanya. Kenangkanlah kasih sayang ibu yang paling suci untuk anak ibu yang ibu rindukan sepanjang masa. Jadilah anak yang baik, hormati dan sayangilah nenek, kerana neneklah yang ibu harapkan dapat membesarkan Along. Dia emak ibu, emak yang ibu sayang sebagaimana ibu sayang Along.



Along,
Sentiasa berdoa untuk ibu, dan adik kamu. Kita akan bertemu jua nanti, di alam yang berlainan. Jangan tinggalkan solat ya sayang. Rajin amalkan membaca Al-Quran, baca surah Yassin, ibu tidak harapkan apa-apa yang berlebihan dari Along, cukuplah sekadar doa untuk ibu dan bacaan Al-Quran dari Along untuk bekalan ibu di sana nanti. Besar pahalanya seorang anak mendoakan ibunya. Ibu sangat rindukan Along. Ibu menulis ini dengan linangan air mata. Kalaulah dalam diselami hati ibu, pasti semua orang tahu apa yang terbuku di hati ibu. Bagaimana besarnya harapan itu teringin melihat anak ibu berjaya. Teringin melihat anak ibu membesar. Tetapi kita tidak punya keajaiban untuk menidakkan apa yang bakal tersurat.



Along,
Tidak tahu lagi bagaimana untuk ibu lakarkan apa yang ada di dalam hati ibu. Ibu berharap catatan ibu ini akan menjadi azimat buat Along. Akan jadi satu pendorong untuk Along. Iya, ibu mungkin tidak bersama Along di alam nyata, tetapi ibu sentiasa ada dihati Along. Ibu sentiasa ada bersama Along setiap masa. Insya-Allah para malaikat akan sentiasa melindungi Along. Sentiasalah Along berusaha untuk berjaya, jangan mudah berputus asa, dan jangan jadikan perpisahan kita sebagai punca segalanya. Jadikan dia cabaran untuk Aloang berjaya, ibu doakan anak ibu berjaya dunia dan akhirat. Ibu halalkan makan minum Along selama 6 tahun ibu membela Along, ibu halalkan setiap titis susu ibu yang masuk ke kerongkong Along suatu masa dahulu. Along masih terlalu kecil untuk melakukan sesuatu yang boleh dikatakan dosa terhadap ibu. Along sentiasa menggembirakan ibu, tidak menyusahkan ibu.



Along,
Bila ibu sudah tiada, Along jagalah diri Along sebaik mungkin. Berkawanlah dengan mereka yang baik-baik. Ibu tidak berpeluang untuk mengenali siapa kawan-kawan Along selepas ibu pergi, tetapi ibu percaya anak ibu tidak akan tersilap memilih kawan. Belajarlah rajin-rajin Along, kalau boleh jadikan insan yang boleh membimbing orang lain. Hasrat ibu biarlah anak ibu menjadi seorang yang berjaya didunia dan diakhirat, dan sentiasa berdoakan kesejahteraan ibu disana.



Along,
Bersama surat ini, ada beberapa keping gambar kita yang ibu simpan selama ibu disini. Ibu amanahkan Along jagalah gambar-gambar ini dengan baik. Di belakang gambar itu, ibu catitkan setiap peristiwa yang dirakamkan. Ibu paling suka gambar kenangan pada hari pertama kita beraya bersama, iaitu pada hari Along dilahirkan. Along sungguh comel dalam dakapan ibu, dan abah. Itulah sahaja kenangan abadi untuk Along dari ibu, selain kasih sayang ibu yang berpanjangan. Ingatlah setiap saat kasih ibu pada Along ada sentiasa bersama Along walau kemana Along pergi, doa ibu sentiasa mengiringi Along.



Along,
Ibu sudah tidak berdaya untuk menulis dengan lebih panjang, walau hati ibu teringin menulis lagi kerana selepas ini tiada lagi bicara ibu buat Along. Tetapi ibu harus berehat, ibu ingin tidur selepas ini, dan mungkin juga tidur ibu tidak akan bangun-bangun lagi selepas ini, siapa tahu? Allah jua yang tahu. Apa pun sentiasalah ingati ibu ya..anak ibu. Anak ibu yang ibu kasihi hingga akhir hayat ibu. Anak ibu yang rindukan setiap saat. Sentiasalah ingat pesanan ibu yang satu ini,


"Jika kita fikir kita malang, renunglah anda insan lebih malang dari kita, kita kita fikir kita susah, ada lagi insan lebih susah dari kita, jika kita hendak berjaya hanya kita sendiri boleh berusaha ke arah itu, usahalah dan tawakal kepada Allah."



Ingatlah pesan ibu selamanya. Sampai sini catatan ibu buat Along. Peluk cium untuk anak ibu. Kasih sayang ibu abadi untuk Mohd. Aidil Asraff bin Sulaiman. Selamanya..

--------------------------------------------------



Asraff melipat kembali surat ibu, kertas yang hampir lunyai itu sudah beratus, malah beribu kali ditatapinya tanpa jemu. 14 tahun ianya sudah berlalu. 14 tahun surat ini bersamanya. Salinan asal masih disimpan dengan kemas dirumah arwah nenek. Yang dikendong ke sana sini azimat ibu itu hanya yang sudah di fotokopi, hingga begitu sekali dia menjaga amanat ibu. Tapi hari ini, saat ini, Asraff bawa bersamanya surat asal yang ditulis dengan tangan ibu sendiri 14 tahun yang lalu, untuk terus dijadikan azimat dan peransang. Nenek sudah meninggal. Nenek tinggalkan Asraff semasa dia berada di dalam darjah 6. Kemudian rumah anak-anak yatimlah tempat dia membesar. Ummi Zainablah pengganti ibu dan nenek. Disitulah dia mengenal segalanya, disitulah dia dewasa. Disitulah dia mencipta kejayaan demi kejayaan.



Dan hari ini, bumi Malaysia akan ditinggalkan. Kota London akan menjadi medan menentukan kejayaannya. Biasiswa tawaran kerajaan untuk dia pulang bergelar doktor tidak disia-siakan. Bidang perubatan tetap menjadi pilihan. Dia tidak punya ibu untuk dibelai, biarlah dia belai ibu orang dengan ilmu perubatannya nanti. Dia juga sudah menyiapkan diri dengan ilmu agamanya yang tidak sedikit. Sejak dari rumah anak yatim dia sering menjadi imam. Tanpa didikan ibu, dia tetap berjaya. Tanpa ibu juga dia meneruskan hidupnya.



Dan kini, hari ini, tanpa iringan ibu tercinta, tanpa iringan saudara mara, dia berada di lapangan terbang, bersama beberapa biji beg, dia sudah bersedia. Sedia untuk terus berjaya. Dia pura-pura ceria bila melihat temannya yang lain bersalaman dan berpelukan dengan ibu bapa tercinta, berpelukan mesra dengan saudara mara. Tetapi dia??? Hanya kasih sayang dan azimat ibu yang mengiringinya. Selebihnya hanya pegawai MARA sahaja bersusah payah deminya. Ya Allah tuhan itu Maha Adil. Dia tahu apa yang dicipta. Insya-Allah dia akan berjaya.



------------------------------------------------------------

Sebaik sahaja, bayi itu dihulurkan kepadanya, dia menangis hiba. Sesungguhnya inilah kali pertama dia menangis selepas tempoh 20 tahun. Sayu dan sebak hatinya. Bukan dia tidak biasa menyambut suatu kelahiran, bukan dia tidak biasa mendengar tangisan kesakitan seorang ibu melahirkan satu nyawa.



Tetapi hari ini, saat ini dia sendiri menemani isterinya berjuang kesakitan demi melahirkan satu zuriat dari benihnya sendiri. Dia sendiri menyambut bayi itu, dia sendiri memandikan bayi itu. Dia qamatkan kalimah suci ke telinga bayi comel itu. Sesungguhnya inilah kebahagiaan yang dicari. Isterinya jua menyeka air mata. Dia tidak pasti air mata gembira atau hiba melihat juga menitiskan air mata.



Bayi itu dinamakan Nurlia Fatihah, sempena nama kedua insan yang dia tidak sempat berkasih sayang sepenuh hati. Moga Nurlia Fatihah akan mengharungi kehidupan penuh bahagia. Cukuplah dia di uji, pintanya pada Ilahi, biarlah ku bahagia kini.



TAMAT

 pengarang oleh nabila bt zainon

Tiada ulasan:

Catat Ulasan